Saturday, January 22, 2011

INTIPATI UCAPAN PN OMMI KALSOM-PENGETUA SMK TAMAN KENARI


Marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izinNya  kita dapat bersama dalam Program Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1 bagi SMK  Taman Kenari yang dijalankan pada pagi ini.  Malah proses pendaftaran seumpama ini juga dijalankan di semua sekolah menengah di seluruh Negara.
Pertamanya, tidak terlalu awal jika saya bagi pihak warga pendidikan SMK Taman Kenari  untuk mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2011 kepada tuan/puan sekelian.
Mudah-mudahan kehadiran tahun baru ini bukan sekadar peralihan bulan Disember 2010 ke Januari 2010 tetapi juga tahun yang menjanjikan kecemerlangan kepada kita semua, Insya allah
Selamat Datang ke SMK Taman Kenari  dan sekali gus menjadi warga sekolah ini untuk tempoh 3 atau 5 tahun yang akan dating.  Diharapkan anak-anak pelajar yang diterima masuk di sini akan meneruskan kecemerlangan mereka di peringkat menengah rendah (tingkatan 1 hingga tingkatan 3) dan menengah tinggi (iaitu tingkatan 4 dan tingkatan 5)di sini.
Kalau tahun 2010, kohort tingkatan 3 sekolah ini telah menyumbangkan pencapaian yang cemerlang di mana kita memperoleh keputusan PMR dengan peratus lulus 55.91% dang red purata sekolah (GPS) 3.23 dan seramai 7 orang pelajar memperoleh pencapaian ‘semua A’ yang merupakan bilangan yang tertinggi yang pernah dicapai oleh sekolah ini.  Senarai nama pelajar-pelajar cemerlang PMR 2010 telah ditampalkan di papan kenyataan untuk makluman tuan/puan dan para waris.  Anak-anak kita inilah yang kita harapkan untuk meneruskan kecemerlangan ini apabila mereka mengambil SPM untuk tahun 2012 nanti.  Insya allah.
Anak-anak yang didaftarkan ke Tingkatan 1 pada hari ini juga akan menjadi harapan warga SMK Taman Kenari untuk memperoleh keputusan yang cemerlang pada setiap kali peperiksaan dan khususnya dalam PMR pada tahun 2013 nanti.  Insya allah.
Terima kasih kepada seluruh ibu bapa yang dapat hadir menguruskan pendaftaran anak tuan/puan pada hari ini.  Pendaftaran ini adalah amat penting untuk kita menguruskan persediaan anak-anak kita bagi menghadapi kehidupan baru di sekolah menengah.  Hari ini anak-anak kita akan mendaftar untuk masuk ke kelas yang ditetapkan, member kelengkapan buku dan alatulis di koperasi.
Seterusnya, anak-anak ini akan menjalani Program Orientasi Tingkatan 1 mulai 2 Januari 2011 hingga 4 Januari 2011.  Mereka juga akan memulakan sesi persekolahan dan pembelajaran rasmi mulai minggu pertama mereka di sini.
Kepada anak-anak pelajar, selain daripada akan mengikuti program-program akademik iaitu proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah, anak-anak juga perlu melibatkan diri secara aktif dalam bidang kokurikulum.
Pihak KPM telah melancarkan Dasar 1 Murid 1 Sukan mulai tahun 2011, di mana setiap murid perlu mengambil  bahagian dalam sekurang-kurangnya 1 jenis sukan.  Penilaian akan diberikan kepada setiap murid dalam setiap penglibatan dalam bidang kokurikulum iaitu, Sukan/Permainan, Kelab/Persatuan dan Unit Beruniform.  Matlamat utama KPM adalah untuk melahirkan murid yang sihat, cergas dan dengan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dapat membantu anak-anak pelajar berada dalam keadaan cergas untuk menghadapi Pembelajaran dan Pengajaran guru dalam bilik darjah. Oleh itu saya menyeru kepada anak-anak pelajar mengambil peluang terbaik ini untuk memastikan kita mampu menggenggam kecemerlangan di sekolah ini bukan sahaja dari segi pencapaian akademik, tetapi juga dari segi kokurikulum dan sahsiah diri kita.
Motto sekolah ini ialah “Iltizam, Cemerlang, Bestari” yang membawa pengertian semua pelajar, guru dan warga sekolah ini perlu sentiasa berusaha dengan penuh semangat “iltizam”@ bersungguh-sungguh untuk mencapai tahap bijak dan pintar supaya “Cemerlang” dalam semua bidang untuk merealisasikan visi dan misi sekolah menjadi pelajar yang “Bestari”.
Visi kita ialah hendak menjadi sekolah harian yang cemerlang dalam Daerah Kulim Bandar Baharu pada tahun 2015.  Kalau tahun ini kita berada dalam kedudukan yang hamper cemerlang, khususnya dalam PMR baru-baru ini dengan peningkatan peratus lulus sebanyak 6.75%.  Insya allah Visi sekolah untuk cemerlang pada tahun 2015 akan tercapai.

0 comments: